Matahari melabuhkan tirainya. Tiba masa untuk sang malam menemani setiap kehidupan di muka bumi. Selamat datang ke Dream Forest, Langkawi. Ibarat hutan belantara yang hidup dengan karakter-karakter magis, itulah apa yang dirasakan di saat sesiapa sahaja yang pertama kali menjejakkan kaki ke dalam Dream Forest, Langkawi.
Terletak di kaki Gunung Raya, Dream Forest Langkawi menghidupkan pelbagai kisah lagenda yang dikaitkan dengan Langkawi seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Gergasi Langkawi. Hutan belantara ini dilengkapi dengan pemetaan visual dengan gabungan ritma yang bakal memukau sesiapa sahaja yang menerokanya.
Bukan setakat cantik dan menarik untuk dilihat, Dream Forest Langkawi turut menyajikan sebuah pentas bayangan yang peka dengan kelestarian alam semula jadi. Bagaimana Dream Forest, Langkawi dapat menyediakan pentas penuh magika sambil memastikan kelestarian alam semula jadi terjaga? Ikuti saya menerokai hutan belantara penuh magis yang dibina sambil berbakti kepada alam.
Tiada Pembalakkan Dilakukan
Salah satu aspek kelestarian alam sekitar yang amat dititikberatkan di Dream Forest, Langkawi adalah komitmennya untuk memelihara habitat semula jadi. Gunung Raya merupakan puncak tertinggi di Langkawi dengan ketinggian 881 meter (2,890 kaki). Dream Forest, Langkawi memelihara hutan dan menghormati alam semula jadi dengan harapan dapat memberikan contoh kepada industri pelancongan dan masyarakat setempat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem. Secara tidak langsung, pentas magika Dream Forest ini membuktikan hiburan dan kelestarian alam dapat berjalan seiring.
Pencahayaan Cekap Tenaga
Apabila kita menerokai Dream Forest ini, kita bakal menikmati pencahayaan yang memukau dan alunan ritma yang menghidupkan cerita-cerita lagenda ini seperti di alam kayangan. Namun, walaupun hutan ini dihidupkan dengan pencahayaan yang tinggi, Dream Forest Langkawi hanya menggunakan pencahayaan yang cekap tenaga atau energy efficient di seluruh alam magika ini. Inisiatif ini merupakan satu komitmen wajib buat Dream Forest Langkawi untuk mengurangi jejak karbon demi menjaga kelestarian alam semula jadi.
Integrasi Teknologi Lestari
Cerita-cerita lagenda ibarat dihidupkan dalam hutan belantara Gunung Raya melalui projection mapping, bunyi-bunyian yang tepat serta jalan cerita yang senang difahami sehingga membuatkan sesiapa saja yang menerokainya berasa seperti di alam tersebut. Ini kerana alam magika Dream Forest Langkawi ini dibina menggunakan teknologi yang tinggi. Penggunaan pemetaan projeksi, teknologi pelbagai deria, dan pencahayaan yang canggih bukan hanya bertujuan untuk memberikan pengalaman yang memukau tetapi juga menekankan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan lestari. Pendekatan ini bakal menyentuh hati sesiapa saja yang mencari tarikan yang inovatif serta mesra alam.
Pembangunan Ekonomi Tempatan
Bukan sahaja kisah-kisah lagenda dihidupkan, Dream Forest Langkawi juga sebuah platform magika yang menghidupkan pembangunan ekonomi tempatan. Dengan mencipta peluang pekerjaan, menyediakan latihan, dan berkongsi teknologi dengan komuniti tempatan, tarikan ini menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut sekaligus sejajar dengan aspek kelestarian ekonomi ekopelancongan.
Komitmen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG):
Dream Forest Langkawi amat komited kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG). Pendekatan holistik ini memastikan bahawa pertimbangan alam sekitar, impak sosial, dan standard tadbir urus adalah sebahagian daripada operasinya. Pengunjung yang mengutamakan destinasi dengan komitmen ESG yang kukuh akan mendapati tarikan ini menarik.
Dream Forest Langkawi melangkah lebih jauh daripada menjadi tempat hiburan semata-mata; ia merupakan keajaiban mesra alam yang menarik buat pengunjung yang mencari pengalaman mendalam sambil mengutamakan pemeliharaan alam sekitar, keterlibatan komuniti, dan amalan lestari.
Untuk anda yang ingin meneroka hutan impian ini, Dream Forest Langkawi beroperasi dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam setiap hari, kecuali Rabu. Harga tiket untuk penduduk tempatan ialah RM68 untuk dewasa, RM48 untuk kanak-kanak, dan RM28 untuk warga emas.
Pelancong dari luar negara akan dikenakan harga RM98 untuk dewasa, RM68 untuk kanak-kanak, dan RM38 untuk warga emas. Penduduk Langkawi pula dapat menikmati tawaran istimewa dengan harga RM38 untuk dewasa, RM28 untuk kanak-kanak, dan RM28 untuk warga emas.
Sudah tiba masanya bagi kami mengucapkan selamat tinggal. Sebagai penjaga alam mistik ini, kami memanjangkan jemputan kepada anda ke Dream Forest Langkawi – langkahlah ke dunia penuh mistik ini, di mana lagenda, sejarah dan pengembaraan menanti. Sehingga jalan kita bertemu, semoga perjalanan anda ke sini dipenuhi keajaiban seperti cerita-cerita lagenda di bawah penjagaan kami.
Dengan salam mistik,
Sang Gedembai, Penjaga Dream Forest